Friday, November 26, 2010

Qurban Hidayah Centre Di Kulim




Sempena dengan sambutan Eidul Adha 1431 H , pihak Hidayah Centre telah memperuntukan seekor lembu untuk dikorbankan di Kulim. Pihak IKRAM Kulim di bawah inisiatif TYDP , Sdr Saiful Suhardi Shamsudin telah menghubungi YDP IKRAM Kulim yang juga AJK Masjid al-Muhtadin, Sg Seluang untuk membincangkan tempat korban hendak dilaksanakan.

Akhirnya bersetuju untuk dibuat pada Hari Raya Pertama di Masjid Sg Seluang bersama dengan majlis qurban masjid tersebut. Majlis tersebut dilaksanakan pada jam 10.30 pagi dan disembelih sendiri oleh YDP IKRAM Kulim, Ustaz Rahim @ Saleh bin Ramly.


Daging korban itu diagihkan kepada saudara baru sekitar Kulim seramai 30 orang yang diketuai oleh Pn. Sarina Abdullah. dalam majlis ini juga akhawat Kulim telah menyantuni mereka dan menawarkan mereka untuk hadir ke majlis bulanan IKRAM Kulim iaitu Multaqa Ilmu.

Ahli IKRAM Kulim Turut Menyantuni Mangsa Banjir


Sebagaimana yang dimaklumi banjir besar telah berlaku pada awal November lalu yang melanda Utara Kedah , iaitu Daerah Kubang Pasu dan Kota Setar. Banjir besar ini memusnahkan banyak harta benda dan juga tanaman terutama tanaman padi. Beberapa rumah ahli IKRAM dan Institusi IKRAM juga terlibat.

Oleh itu IKRAM Kedah bersama IKRAM Pusat termasuk DERU JIM telah menubuhkan pasukan bantuan sebaik sahaja banjir berlaku. IKRAM Kulim turut terlibat dengan menghantar misi bantuan pada 6 November 2010 sebaik sahaja laluan untuk ke Jitra dibuka kepada laluan. Misi Kulim yang terdiri daripada 10 orang dengan dua buah kenderaan bertolak dari Surau kulim square seawal jam 7.00 pagi dan singgah di Guar Chempedak mengambil Ust Ahmad Shahimi Senawi selaku pengerusi JK Khidmat Masyarakat IKRAM Kedah serta konvoi dari KL sebanyak 4 kenderaan. Kami sampai di masjid Al-A'la Jitra dan disambut oleh Ketua Operasi, Cik Gu Suberi.

Antara rumah ahli IKRAM Kulim yang terlibat ialah rumah ayah akhi Amir Hamzah di Titi Baru , Kepala Batas. Semasa kami pergi , rumahnya masih digenangi air sedalam 1.5 kaki dalam rumah.

Konvoi 6 kenderaan ini terus ke Pusat Operasi di Taman Jitra untuk diberi taklimat dan tempat bertugas mengikut kumpulan. Setelah tamat sesi pagi, peserta rehat dan makan tengah hari serta solat di Pusat Pendidikan Al-Azhar.

Pada pukul 3 petang, pasukan misi bantuan diarah untuk bertugas membersih Masjid Al-Muttaqin Kg Teluk Malik, Jitra. empat pasukan ditugaskan disini dengan dua set jet air, kami mengambil masa hampir 3 jam untuk membersihkan masjid ini. Di halaman luar masih lagi digenangi air sedalam dua kaki iaitu sama aras dengan tangga masjid.

Setelah tamat , pihak masjid menjamu kami dengan kopi 'O' dan biskut mayat di gerai berhadapan masjid. Semasa itu konvoi dari Putera UMNO melalui kawasan itu yang diketuai oleh Datuk Azeez. Mereka memberi bungkusan keperluan harian dari rumah ke rumah.

Setelah tamat, kami kembali ke Sekolah Azhar untuk mandi dan balik ke Kulim selum maghrib dengan keadaan lalu lintas yang sesak dari Jitra ke KepalaBatas. Berhenti di R&R Gurun untuk solat jamak Maghrib dan Isyak serta makan malam. sampai di Kulim pada jam 10.30 malam.

Thursday, November 25, 2010

Perkongsian Pengalaman Aqsa2Gaza Oleh Akhi Abd Wahab





Program ini diadakan di Pejabat IKRAM Kulim pda 29 Oktober 2010 , jam 8.45 malam. Program ini secara kebetulan serentak dengan program katibah/qiyamullail akhawat.

Akhi Abd Wahab Yahya bersama 6 orang sukarelawan IKRAM yang lain mengambil masa 40 hari untuk berkonvoi dari London ke Gaza mengikut jalan darat dengan memandu van yang sarat dengan barangan sumbangan.

Dalam perkongsian ini Abd Wahab menunjukkan gambar-gambar yang diambil sepanjang konvoi tersebut. Perkongsian ini menarik minat ahli-ahli IKRAM Kulim sehingga ada akhawat bertanya adakah Aqsa Syarif akan menghantar sukarelawan wanita pada masa hadapan.

Majlis perkongsian ini dipengerusikan oleh Pengerusi JK Aqsa Syarif Kulim, Sdr Mohd Zamri Shamsudin dan dihadiri lebih 40 orang ikhwah dan akhawat termasuk anak-anak.

Majlis yang tamat pada jam 10.00 malam diakhiri dengan jamuan ringan yang disediakan oleh akhawat.