Wednesday, December 22, 2010

Perhimpunan Ahli Teras Wanita (PATWA)


Satu lagi sejarah institusi dakwah Malaysia tercipta apabila Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) berjaya mengadakan Perhimpunan Ahli Teras Wanita IKRAM (PATWA) buat pertama kalinya hari ini dengan bertemakan ‘Memantapkan Saf Memimpin Ummah Mendaulatkan Syariah.’

Perhimpunan hari ini bertujuan memilih barisan kepemimpinan wanita IKRAM pusat, iaitu ahli-ahli jawatankuasa pusat (JKP) sayap wanita IKRAM,

yang kemudiannya dalam kesempatan-kesempatan yang lain akan diikuti dengan pemilihan ahli jawatankuasa (JK) sayap Wanita IKRAM peringkat negeri dan ahli JK sayap wanita IKRAM sebahagian daerah yang dirasakan perlu.

Empat ahli teras Wanita IKRAM Kulim telah menghadiri majlis ini iaitu Pn. Latifah Abdullah, Pn. Norsham Mustapa, Pn. Chempaka Saad dan Pn. Hasmah Abdullah.


Monday, December 6, 2010

Perutusan Tahun Baru 1432H - Pengerusi Aqsa Syarif


Segala puji bagi Allah yang telah mengatur perjalanan setiap para Anbiya’Nya, Selawat dan Salam ke atas Junjungan Nabi S.A.W yang telah memimpin para sahabatnya sehingga terbentuknya Hakimiyyah Nubuwah selepas peristiwa Hijrah.

Doa untuk para sahabat, tabien dan seluruh pengikut tabien termasuk guru-guru dan murabbi ummah sepanjang zaman sehingga hari qiamat.

1432 tahun yang lalu, berlakunya hijrah nabi S.A.W dan Khalifah Omar al-Khattab mencatitnya sebagai tahun bermulanya kalendar ummat Islam.

Tidak hairan Khalifah kedua Islam itu memang terkenal dengan al-Faruq; pembeza. Beliau sendiri sangat berbeza semasa jahiliyah dan semasa Islamnya.

Beliau, dengan sengaja mengambil peristiwa Hijrah sebagai permulaan kalendar untuk menonjolkan satu perbezaan besar telah berlaku, antara perjuangan Nabi S.A.W sebelum Hijrah dan selepas Hijrah.

Timbul tanda tanya, samada kita yang kurang menggunakan kaledar ini, atau paling tidak yang menyambut Maal Hijrah saban tahun ini, dapatkah menghayati dan merasakan konsep “erti beza” ini.

Al-Quraan yang diturunkan pada bulan Ramadhan, merupakan al-Furqan; juga membawa maksud membeza.

Bila al-Quraan bercakap pasal membeza antara al-Haq dan al-Batil Hijrah pula mengingatkan kita peritiwa yang membawa perbezaan. Dakwah di Mekah tanpa kuasa dan dakwah di Madinah dengan kuasa (authority). Keduanya memerlukan kekuatan berfikir. Berfikir untuk membeza dan membanding.

Rupanya kita adalah ummat yang diajar untuk sentiasa berfikir, menilai, memerhati, membanding yang akhirnya membantu kita membuat keputusan dalam banyak hal.

Aqsa Syarif yang ditubuhkan pada 20 Safar 1431H bersamaan 4 Feb 2010 sentiasa menjulang isu Palestin di peringkat nasional mahupun di peringkat antarabangsa.

Pendekatan kita ialah mengajak samada masyarakat Islam mahupun bukan Islam untuk berfikir, menilai dan membeza kehidupan yang mereka jalani dengan kehidupan yang dilalui oleh masyarakat Palestin.

Mereka di Palestin memerlukan peluang untuk hidup aman damai seperti kita. Malangnya potensi yang ada pada mereka dan anak-anak mereka dinafikan oleh penjajah Israel itu.

Bagi masyarkat Islam, Aqsa Syarif sentiasa mengajak mereka memahami perjuangan Palestin. Sokongan terhadapnya adalah bertolak dari aqidah yang jelas.

Permusuhan Yahudi terhadap Ummat Islam adalah isu aqidah. Al-Quraan telah mengisytiharkannya, bahawa mereka akan melakukan kerosakkan dan meninggi diri dua kali. Permulaan surah al-Isra’ antara contohnya.

Hadis Nabi S.A.W yang menyebut dengan jelas, walau kita cuba mengelakkan peperangan dengan si degil yahudi itu, peperangan tetap akan berlaku sebelum hari Qiamat.

Peperangan yang menyaksikan tingginya kualiti mukmin yang menganggotai pertempuran ketika itu, sehingga terbuka hijab alam metafizik, pokok dan batu boleh berkominikasi dengan mereka.
Pokok, sebagai contoh, akan mendedahkan percubaan bersembunyi si Yahudi laknatullah di sebaliknya. Malah pokok akan memanggil “wahai hamba Allah, wahai mukmin! Ini yahudi, bunuhlah dia”.

Seorang muslim biasa, yang tidak bertarbiyyah dan hidup tanpa ketinggian kerohanian, tidak akan mampu mendengar suara alam semesta seperti itu ketika dia kononnya bersama Palestin dan ummah dalam perjuangan menentang Yahudi ini.

Tarbiyyah yang dijulang oleh Aqsa Syarif dan Pertubuhan IKRAM Malaysia ialah tarbiyyah yang akan melahirkan petugas dan sukarelawan yang memiliki sifat-sifat yang pernah diusahakan oleh Iman Hasan al-Banna, yang terdidik dalam alam kerohanian yang sangat jernih.

Tarbiyyah ini akan berusaha melahir dan meramaikan mukmin yang tubuhnya sihat dan kuat, akhlak yang mantap, berpendidikan, mampu berdikari, akidah yang sejahtera, ibadah yang betul, bermujahadah mengurus nafsu, menjaga masanya, segala urusannya tersusun dan berguna kepada orang lain.

Mereka ini akan menjadi sukarelawan yang bermanfaat bukan untuk perjuangan Palestin sahaja, malah juga kepada negara Malaysia ini sendiri dalam isu-isu kemanusiaan. Mereka juga menjadi jaguh dan contoh terbaik kepada masyarakat dunia.

Tema Maal Hijrah tahun 1432 ini, “Satu Malaysia Satu Ummah” layak ditafsir mengikut kefahaman pelbagai. Bagi Aqsa Syarif, kita memang membawa isu Palestin sebagai isu kemanusiaan sejagat.

Ceramah-ceramah sukarelawan Aqsa Syarif telah mula menembusi telinga rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam. Terbukti kita menyaksikan titisan air mata warga Iban di Miri yang mendengar penderitaan rakyat Palestin dan kebiadapan komando Israel menceroboh kapal Marvi Marmara.

Saya juga dapat menyaksikan dua pelajar PhD Malaysia di Jepun (Chan Chee Ming dari University Yokohama dan Jenny Yap University Yamanashi) yang menyatakan mula memahami kedudukan sebenar perjuangan Palestin.

Aqsa Syarif bersedia untuk terus menjulang isu Palestin khususnya di peringkat nasional dan memimpin rakyat Malaysia, bersama NGO-NGO Palestin yang lain sebagai satu ummah.

Kita percaya satu Malaysia, rakyat dan pemerintahnya, tidak kira apa bangsa keturunan, apa agama sekali pun boleh bertindak sebagai satu ummah untuk memberi tekanan kepada Israel.

Bersama memboikot sebarang produk Israel atau sekutu-sekutunya. Bersama menghantar bantuan kepakaran, kewangan atau apa sahaja yang boleh meringankan beban rakyat Palestin.

Tahun 1431H menyaksikan Aqsa Syarif bermain dan bergelumang dengan beberapa isu kritikal Palestin. Walaupun dilihat baru di gelanggang, pimpinan dan sukarelawan Aqsa Syarif merupakan gandingan muka-muka lama dan baru yang berjaya mencipta sejarah baru perjuangan Palestin.

Pimpinan Palestin acap kali mengulang-ulang bahwa tahun lepas dan tahun ini merupakan tahun intifadhah ketiganya. Tembok kepungan Gaza semakin hampir keruntuhannya walau pun tangan-tangan jahat Yahudi itu masih cuba mengampu tembok itu.

Aqsa Syarif terlibat dalam dua peristiwa besar membantu Palestin yang telah benar-benar membuka mata dunia - kapal Marvi Marmara dan Konvoi Darat. Marvi Marmara menyaksikan Aqsa Syarif bekerjasama dengan sahabat-sahabat seperjuangan Haluan Palestin di bawah payong IHH, Turki. Melalui rombongan Konvoi Darat pula, 7 sukarelawan Aqsa Syarif yang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit telah bekerjasama dengan Viva Palestina Malaysia dan United Kingdom.

Lihatlah, beberapa pemimpin dunia mula berani melawat ke Gaza secara terbuka. Mereka berani menjanjikan membawa bantuan atau kemudahan pembangunan. Sebagai contoh, Menteri Luar German, Guido Westerwelle, yang melawat Gaza pd 8 Nov 2010 bertujuan untuk mendapatkan maklumat langsung bagaimana untuk memperbaiki tahap kehidupan rakyat Gaza.

Bekas Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Norian Mai yang aktif dalam PGPO dan Matthias Chang Wen Chieh yang berucap dalam satu Seminar Kemanusiaan Berkaitan Tahanan Penjara di Bumi Palestin, mewakili Tun Dr Mahathir Mohamad di bumi Gaza pada 22 Okt 2010, juga membuktikan asakan kita semakin kuat.

Sebelum itu, pada 9 Ogos 2010, rombongan NGO Pemuda Masjid, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan rombongan Kelab Putera 1Malaysia bersama Aman Malaysia dan penyanyi Fauziah Latiff turut menjejakkan kaki ke bumi pertaruhan itu.

OIC juga telah mula berani menyelaras NGO-NGO Palestin seluruh negara untuk masuk ke Gaza, meninjau dan menghantar bantuannya. Mereka juga menyelaras rombongan pakar-pakar perubatan untuk masuk ke Gaza.

Tahun 1431H juga menyaksikan Parlimen Malaysia secara sebulat suara menyokong usul Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak untuk mengutuk dan memberi tekanan kepada Israel.

Kami kagum dengan ahli-ahli Parlimen Malaysia yang terdiri dari pelbagai parti politik samada parti pemerintah dari Barisan Nasional sendiri, mahupun Parti Pembangkang yang diketuai Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tuan Guru Dato’ Haji Abd Hadi Awang, En. Lim Kit Siang dan lain-lain.

Semangat Malaysia yang disatukan dengan isu Palestin, menjadikan kami barisan pejuang Palestin seperti Aqsa Syarif berasa bangga, walau pun Parlimen itu boleh juga disatukan dengan isu-isu lain.

Aqsa Syarif menyeru seluruh petugas-petugasnya di tanah air dan di luar negara, penyokong-penyokongnya dan sesiapa yang simpati kepada perjuangan Palestin agar meningkatkan kesedaran demi meggerakkan apa yang ada. Harapannya, apa yang sedang terpacu ini akan terus mara ke hadapan di tahun-tahun yang mendatang.

Semoga sambutan Maal Hijrah tahun 1432 ini akan mengajak kita semakin berani berfikir, menilai, membanding dan akhirnya membuat keputusan yang terbaik.

Kehidupan kita akan berbeza dengan kehidupan sebelum ini.
Menjadi seorang yang ambil peduli tentang Palestin atau membiarkan Palestin begitu sahaja. Menjadi seorang yang terlibat sebagai sukarelawan dengan NGO Palestin seperti Aqsa Syarif atau menjadi sekadar pemerhati. Menjadi seorang penderma tetap Palestin atau terus mengelak untuk menderma.

Menjadi seorang yang sentiasa mendoakan Palestin dan Masjil-Aqsa atau hanya berkenduri tanpa mendoakan Palestin. Menjadi penyebar berita Palestin atau terus sibuk dengan FB dan chatting yang kurang berfaedah.

Ya jadilah umat yang berhijrah, jadilah umat yang pandai membezakan, yang pandai menilai dan yang pandai membuat keputusan. Membeza antara al-haq dan al-batil. Umat yang maju dan terus maju.

USTAZ HASANUDDIN MOHD YUNUS
Pengerusi AQSA SYARIF
Ahli Dewan Perwakilan Nasional Pertubuhan IKRAM Malaysia
Ahli Persatuan Perubatan Darussyifa’ Malaysia

Perutusan KW IKRAM- SEMPENA 1432H


Salam buatmu di ambang tahun baru

Ikhwah dan Akhawat

Hari ini kita baru menjejakkan kaki di gerbang 1432. Syukur kepada-Nya kerana masih memanjangkan usia kita sempat melihat terbenamnya matahari 1431. Mudah-mudahan ia turut membenamkan duka lara akibat kealpaan dan kecuaian kita sepanjang tahun yang lalu. Dan munculnya matahari 1432 akan menggilapkan azam dan tekad di dalam diri kita untuk berjuang dan berkorban demi mendaulatkan Syariah di persada dunia.

1432 hijriah membawa maksud 1445 tahun sudah Islam diturunkan ke muka bumi. Selama itulah cahaya kebenaran itu dipancarkan dari langit dan dinyalakan di persada bumi. Dan dari semenjak itu cahaya kebenaran itu tidak pernah terpadam meskipun pelbagai percubaan dilakukan oleh musuh-musuh untuk memadamkannya. Dan sesungguhnya ia tidak akan padam buat selama-lamanya.

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (Maksud As-Saff:8)

Seluruh umat bersepakat bahawa Hijrah merupakan satu noktah penting dalam perjuangan menegakkan din Allah di muka bumi ini, satu lonjakan saujana dalam penyebaran dakwah dan pemantapan aqidah di seluruh pelusuk dunia.

Hijrah adalah lambang ketulusan iman, kemurnian hati dan kejernihan jiwa. Hati yang benar-benar telah berjaya disucikan dari karat-karat jahiliah, jiwa yang telah lulus piawaian Ilahi terhindar sepenuhnya dari saki baki najis syirik dan nifaq.

Hijrah adalah manifestasi kebenaran iman yang didakwa bersarang di dalam dada, mercu tanda sahihnya pengakuan seorang hamba bahawa tiada ia bertuhan kecuali pada Yang Esa.

Hijrah adalah syarahan kepada maksud kalimah pengorbanan dari segala seginya!

Ikhwah dan Akhawat

Meneliti kisah-kisah yang tertulis di dalam sejarah mengenai peristiwa hijrah membuatkan lidah terasa kelu dan tangan terasa kaku. Tidak mampu untuk kita mengungkapkan betapa besar pengorbanan yang telah mereka curahkan, betapa hebat sumbangan yang telah mereka taburkan. Dapat dibayangkan betapa kesedihan yang terpaksa ditanggung kerana meninggalkan tanah air tercinta. Lebih-lebih lagi tanah air yang ditinggalkan itu bukan sebarangan tempat, ia merupakan tanah haram yang dimuliakan, tanah haram yang terbina di atasnya Rumah Allah yang agung. Betapa pilu dan rindu bagaikan tidak tertanggung. Hal ini diceritakan oleh Sayyidatuna Aisyah r.a. dengan katanya: setibanya Rasulullah s.a.w. di Madinah, Abu Bakar dan Bilal jatuh sakit. Aku menziarahi keduanya dan bertanya, “bagaimana keadaanmu, ayahku? Dan bagaimana keadaanmu wahai Bilal?”

Aisyah menyambung ceritanya dengan berkata: Adapun ayahku Abu Bakar, setiap kali demamnya memuncak dia akan bermadah:

Setiapa insan berada dalam kalangan keluarganya

Sedang kematian lebih dekat kepadanya daripada tali kasutnya.

Manakala Bilal pula mencurahkan kerinduannya menerusi rangkap-rangkap syair:

Aduhai alangkah rindunya

Adakah mungkin aku akan bermalam walau satu malam Cuma

Di satu lembah dan di sekelilingku pokok izkhir dan jalil?

Adakah mungkin suatu hari nanti aku meminum air dari Mijanah?

Adakah mungkin nanti aku akan dapat melihat Syamah dan Tufayl?

Pengorbanan yang tercurah bukan dari golongan tertentu. Seluruh ummah berpadu memberikan segala yang termampu tanpa mengira lelaki dan wanita, golongan tua dan muda, dewasa, remaja dan kanak-kanak, kaya dan papa, bujang dan berkeluarga. Keluarga Abu Bakar r.a. adalah sebaik-baik contoh dalam hal ini.

Ikhwah dan Akhawat,

Bagi akhawat khususnya, kedatangan tahun baru hijrah kali ini menjadi lebih bermakna. Hanya beberapa hari saja lagi akan berlangsungnya PATWA yang merupakan detik permulaan tertubuhnya sayap wanita IKRAM. Mampukah kita menjadikan penubuhan sayap ini sebagai suatu landasan meluncurkan dakwah ini hingga berjaya mencapai puncaknya sebagaimana hijrah ar-Rasul menjadi titik permulaan tertegaknya Negara Islam yang pertama?

Buat ikhwah, terutamanya yang masih ragu dan teragak-agak untuk mengizinkan teman hidupnya bergiat aktif di dalam dakwah, jadikan peristiwa hijrah ini sebagai cermin. Lihat betapa Islam sentiasa menampilkan wanita sebagai pemegang watak utama dalam setiap peristiwa besar yang menjadi mercu tanda kebangkitan Islam. Orang yang pertama beriman, yang pertama syahid mempertahankan iman, yang menyiapkan bekalan untuk Sayyidil-Mursalin berhijrah menuju tapak pembinaan Negara Islam.

SELAMAT MELANGKAH KE TAHUN BARU YANG MEMBAWA KITA SEMAKIN HAMPIR MENGGAPAI WAWASAN.

Ukhtukum fillah

KakMaznah

6 jam 35 minit sebelum terbit fajar 1 Muharram 1432

Saturday, December 4, 2010

Ceramah Lim Jooi Soon


3 Disember 2010, Pusat Pendidikan Islah Sungai Petani- Satu ceramah bertajuk Keaslian Al-Quran telah disampaikan oleh Sdr Lim Jooi Soon. Program yang dianjurkan oleh IKRAM sungai Petani turut dihadiri oleh 2 orang ahli IKRAM Kulim aitu sdfr Syamsul Jaafar dan SU IKRAM Kulim.


Saudara yang dibesarkan dalam keluarga beragama BTC (Buddhisme, Taoisme dan Confucianisme), kemudian memeluk Kristian dan akhirnya mendapat hidayah pada usia 27 tahun. Setelah 15 tahun dalam Islam, beliau mempelajari dan Islam dan berdakwah secara sepenuh masa serta banyak menulis buku tentang dakwah non muslim. Terlibat aktif dalam PERKIM Ampang.

Tajuk yang dikupas ini sebenarnya boleh dibaca dari buku yang ditulisnya bersama rakannya yang bertajuk Keaslian Al-Quran. Beliau mengupas tajuk ini dari dua segi iaitu penjagaan Al-quran melalui hafazan dan penulisan serta melalui proses penyingkiran pengarang Al-Quran.

majlis diakhiri dengan soal jawab dengan banyak soalan tertumpu kepada kapada kaedah menyampaikan dakwah kepada non Muslim. Sdr Lim menekankan kebanyakan kita hanya mendengar atau ingin berdakwah tetapi tidak turun padang. Kemahiran akan hanya dicapai apabila kita sentiasa turun padang dan bertanya kepada pakar apabila menghadapi masalah.

Eksplorasi Minda Aulad Kulim

Wanita IKRAM Kulim di bawah Unit Aulad telah mengadakan program Eksplorasi Minda untuk anak-anak ahli dan juga rakan-rakan IKRAM di Taman Permainan Kulim HiTech Pack pada 4 Disember 2010, bermula jam 8.30 pagi.

Program ini di bawah Pengarah Ukhtie Welma Laanda, telah diikuti oleh 17 orang peserta lelaki dan perempuan dari peringkat umur 6-15 tahun. Eksplorasi yang melibatkan 8 stesen dengan pelbagai aktiviti. Antaranya hafazan, teka silangkata, cari kata, mencari benda dalam tepung, makan buah tergantung, membuat layang-layang dan 'memancing ikan'.


Program ini juga melibatkan para ibu bapa yang turut sama terlibat sebagai fasillitator. Setelah tamat eksplorasi , diadakan jamuan nasi lemak yang disediakan oleh para akhawat.


Kemudian majlis penyampaian hadiah oleh Ketua Wanita IKRAM Kulim, Ukhtie Latifah Abdullah. Ucapan penutup disampaikan oleh Timbalan Yang DiPertua IKRAM Kulim , Akhi Saiful Suhardi Shamsudin. majlis berakhir pada jam 12.30 tengah hari.