Monday, December 6, 2010

Perutusan KW IKRAM- SEMPENA 1432H


Salam buatmu di ambang tahun baru

Ikhwah dan Akhawat

Hari ini kita baru menjejakkan kaki di gerbang 1432. Syukur kepada-Nya kerana masih memanjangkan usia kita sempat melihat terbenamnya matahari 1431. Mudah-mudahan ia turut membenamkan duka lara akibat kealpaan dan kecuaian kita sepanjang tahun yang lalu. Dan munculnya matahari 1432 akan menggilapkan azam dan tekad di dalam diri kita untuk berjuang dan berkorban demi mendaulatkan Syariah di persada dunia.

1432 hijriah membawa maksud 1445 tahun sudah Islam diturunkan ke muka bumi. Selama itulah cahaya kebenaran itu dipancarkan dari langit dan dinyalakan di persada bumi. Dan dari semenjak itu cahaya kebenaran itu tidak pernah terpadam meskipun pelbagai percubaan dilakukan oleh musuh-musuh untuk memadamkannya. Dan sesungguhnya ia tidak akan padam buat selama-lamanya.

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (Maksud As-Saff:8)

Seluruh umat bersepakat bahawa Hijrah merupakan satu noktah penting dalam perjuangan menegakkan din Allah di muka bumi ini, satu lonjakan saujana dalam penyebaran dakwah dan pemantapan aqidah di seluruh pelusuk dunia.

Hijrah adalah lambang ketulusan iman, kemurnian hati dan kejernihan jiwa. Hati yang benar-benar telah berjaya disucikan dari karat-karat jahiliah, jiwa yang telah lulus piawaian Ilahi terhindar sepenuhnya dari saki baki najis syirik dan nifaq.

Hijrah adalah manifestasi kebenaran iman yang didakwa bersarang di dalam dada, mercu tanda sahihnya pengakuan seorang hamba bahawa tiada ia bertuhan kecuali pada Yang Esa.

Hijrah adalah syarahan kepada maksud kalimah pengorbanan dari segala seginya!

Ikhwah dan Akhawat

Meneliti kisah-kisah yang tertulis di dalam sejarah mengenai peristiwa hijrah membuatkan lidah terasa kelu dan tangan terasa kaku. Tidak mampu untuk kita mengungkapkan betapa besar pengorbanan yang telah mereka curahkan, betapa hebat sumbangan yang telah mereka taburkan. Dapat dibayangkan betapa kesedihan yang terpaksa ditanggung kerana meninggalkan tanah air tercinta. Lebih-lebih lagi tanah air yang ditinggalkan itu bukan sebarangan tempat, ia merupakan tanah haram yang dimuliakan, tanah haram yang terbina di atasnya Rumah Allah yang agung. Betapa pilu dan rindu bagaikan tidak tertanggung. Hal ini diceritakan oleh Sayyidatuna Aisyah r.a. dengan katanya: setibanya Rasulullah s.a.w. di Madinah, Abu Bakar dan Bilal jatuh sakit. Aku menziarahi keduanya dan bertanya, “bagaimana keadaanmu, ayahku? Dan bagaimana keadaanmu wahai Bilal?”

Aisyah menyambung ceritanya dengan berkata: Adapun ayahku Abu Bakar, setiap kali demamnya memuncak dia akan bermadah:

Setiapa insan berada dalam kalangan keluarganya

Sedang kematian lebih dekat kepadanya daripada tali kasutnya.

Manakala Bilal pula mencurahkan kerinduannya menerusi rangkap-rangkap syair:

Aduhai alangkah rindunya

Adakah mungkin aku akan bermalam walau satu malam Cuma

Di satu lembah dan di sekelilingku pokok izkhir dan jalil?

Adakah mungkin suatu hari nanti aku meminum air dari Mijanah?

Adakah mungkin nanti aku akan dapat melihat Syamah dan Tufayl?

Pengorbanan yang tercurah bukan dari golongan tertentu. Seluruh ummah berpadu memberikan segala yang termampu tanpa mengira lelaki dan wanita, golongan tua dan muda, dewasa, remaja dan kanak-kanak, kaya dan papa, bujang dan berkeluarga. Keluarga Abu Bakar r.a. adalah sebaik-baik contoh dalam hal ini.

Ikhwah dan Akhawat,

Bagi akhawat khususnya, kedatangan tahun baru hijrah kali ini menjadi lebih bermakna. Hanya beberapa hari saja lagi akan berlangsungnya PATWA yang merupakan detik permulaan tertubuhnya sayap wanita IKRAM. Mampukah kita menjadikan penubuhan sayap ini sebagai suatu landasan meluncurkan dakwah ini hingga berjaya mencapai puncaknya sebagaimana hijrah ar-Rasul menjadi titik permulaan tertegaknya Negara Islam yang pertama?

Buat ikhwah, terutamanya yang masih ragu dan teragak-agak untuk mengizinkan teman hidupnya bergiat aktif di dalam dakwah, jadikan peristiwa hijrah ini sebagai cermin. Lihat betapa Islam sentiasa menampilkan wanita sebagai pemegang watak utama dalam setiap peristiwa besar yang menjadi mercu tanda kebangkitan Islam. Orang yang pertama beriman, yang pertama syahid mempertahankan iman, yang menyiapkan bekalan untuk Sayyidil-Mursalin berhijrah menuju tapak pembinaan Negara Islam.

SELAMAT MELANGKAH KE TAHUN BARU YANG MEMBAWA KITA SEMAKIN HAMPIR MENGGAPAI WAWASAN.

Ukhtukum fillah

KakMaznah

6 jam 35 minit sebelum terbit fajar 1 Muharram 1432

Saturday, December 4, 2010

Ceramah Lim Jooi Soon


3 Disember 2010, Pusat Pendidikan Islah Sungai Petani- Satu ceramah bertajuk Keaslian Al-Quran telah disampaikan oleh Sdr Lim Jooi Soon. Program yang dianjurkan oleh IKRAM sungai Petani turut dihadiri oleh 2 orang ahli IKRAM Kulim aitu sdfr Syamsul Jaafar dan SU IKRAM Kulim.


Saudara yang dibesarkan dalam keluarga beragama BTC (Buddhisme, Taoisme dan Confucianisme), kemudian memeluk Kristian dan akhirnya mendapat hidayah pada usia 27 tahun. Setelah 15 tahun dalam Islam, beliau mempelajari dan Islam dan berdakwah secara sepenuh masa serta banyak menulis buku tentang dakwah non muslim. Terlibat aktif dalam PERKIM Ampang.

Tajuk yang dikupas ini sebenarnya boleh dibaca dari buku yang ditulisnya bersama rakannya yang bertajuk Keaslian Al-Quran. Beliau mengupas tajuk ini dari dua segi iaitu penjagaan Al-quran melalui hafazan dan penulisan serta melalui proses penyingkiran pengarang Al-Quran.

majlis diakhiri dengan soal jawab dengan banyak soalan tertumpu kepada kapada kaedah menyampaikan dakwah kepada non Muslim. Sdr Lim menekankan kebanyakan kita hanya mendengar atau ingin berdakwah tetapi tidak turun padang. Kemahiran akan hanya dicapai apabila kita sentiasa turun padang dan bertanya kepada pakar apabila menghadapi masalah.

Eksplorasi Minda Aulad Kulim

Wanita IKRAM Kulim di bawah Unit Aulad telah mengadakan program Eksplorasi Minda untuk anak-anak ahli dan juga rakan-rakan IKRAM di Taman Permainan Kulim HiTech Pack pada 4 Disember 2010, bermula jam 8.30 pagi.

Program ini di bawah Pengarah Ukhtie Welma Laanda, telah diikuti oleh 17 orang peserta lelaki dan perempuan dari peringkat umur 6-15 tahun. Eksplorasi yang melibatkan 8 stesen dengan pelbagai aktiviti. Antaranya hafazan, teka silangkata, cari kata, mencari benda dalam tepung, makan buah tergantung, membuat layang-layang dan 'memancing ikan'.


Program ini juga melibatkan para ibu bapa yang turut sama terlibat sebagai fasillitator. Setelah tamat eksplorasi , diadakan jamuan nasi lemak yang disediakan oleh para akhawat.


Kemudian majlis penyampaian hadiah oleh Ketua Wanita IKRAM Kulim, Ukhtie Latifah Abdullah. Ucapan penutup disampaikan oleh Timbalan Yang DiPertua IKRAM Kulim , Akhi Saiful Suhardi Shamsudin. majlis berakhir pada jam 12.30 tengah hari.

Friday, November 26, 2010

Qurban Hidayah Centre Di Kulim




Sempena dengan sambutan Eidul Adha 1431 H , pihak Hidayah Centre telah memperuntukan seekor lembu untuk dikorbankan di Kulim. Pihak IKRAM Kulim di bawah inisiatif TYDP , Sdr Saiful Suhardi Shamsudin telah menghubungi YDP IKRAM Kulim yang juga AJK Masjid al-Muhtadin, Sg Seluang untuk membincangkan tempat korban hendak dilaksanakan.

Akhirnya bersetuju untuk dibuat pada Hari Raya Pertama di Masjid Sg Seluang bersama dengan majlis qurban masjid tersebut. Majlis tersebut dilaksanakan pada jam 10.30 pagi dan disembelih sendiri oleh YDP IKRAM Kulim, Ustaz Rahim @ Saleh bin Ramly.


Daging korban itu diagihkan kepada saudara baru sekitar Kulim seramai 30 orang yang diketuai oleh Pn. Sarina Abdullah. dalam majlis ini juga akhawat Kulim telah menyantuni mereka dan menawarkan mereka untuk hadir ke majlis bulanan IKRAM Kulim iaitu Multaqa Ilmu.

Ahli IKRAM Kulim Turut Menyantuni Mangsa Banjir


Sebagaimana yang dimaklumi banjir besar telah berlaku pada awal November lalu yang melanda Utara Kedah , iaitu Daerah Kubang Pasu dan Kota Setar. Banjir besar ini memusnahkan banyak harta benda dan juga tanaman terutama tanaman padi. Beberapa rumah ahli IKRAM dan Institusi IKRAM juga terlibat.

Oleh itu IKRAM Kedah bersama IKRAM Pusat termasuk DERU JIM telah menubuhkan pasukan bantuan sebaik sahaja banjir berlaku. IKRAM Kulim turut terlibat dengan menghantar misi bantuan pada 6 November 2010 sebaik sahaja laluan untuk ke Jitra dibuka kepada laluan. Misi Kulim yang terdiri daripada 10 orang dengan dua buah kenderaan bertolak dari Surau kulim square seawal jam 7.00 pagi dan singgah di Guar Chempedak mengambil Ust Ahmad Shahimi Senawi selaku pengerusi JK Khidmat Masyarakat IKRAM Kedah serta konvoi dari KL sebanyak 4 kenderaan. Kami sampai di masjid Al-A'la Jitra dan disambut oleh Ketua Operasi, Cik Gu Suberi.

Antara rumah ahli IKRAM Kulim yang terlibat ialah rumah ayah akhi Amir Hamzah di Titi Baru , Kepala Batas. Semasa kami pergi , rumahnya masih digenangi air sedalam 1.5 kaki dalam rumah.

Konvoi 6 kenderaan ini terus ke Pusat Operasi di Taman Jitra untuk diberi taklimat dan tempat bertugas mengikut kumpulan. Setelah tamat sesi pagi, peserta rehat dan makan tengah hari serta solat di Pusat Pendidikan Al-Azhar.

Pada pukul 3 petang, pasukan misi bantuan diarah untuk bertugas membersih Masjid Al-Muttaqin Kg Teluk Malik, Jitra. empat pasukan ditugaskan disini dengan dua set jet air, kami mengambil masa hampir 3 jam untuk membersihkan masjid ini. Di halaman luar masih lagi digenangi air sedalam dua kaki iaitu sama aras dengan tangga masjid.

Setelah tamat , pihak masjid menjamu kami dengan kopi 'O' dan biskut mayat di gerai berhadapan masjid. Semasa itu konvoi dari Putera UMNO melalui kawasan itu yang diketuai oleh Datuk Azeez. Mereka memberi bungkusan keperluan harian dari rumah ke rumah.

Setelah tamat, kami kembali ke Sekolah Azhar untuk mandi dan balik ke Kulim selum maghrib dengan keadaan lalu lintas yang sesak dari Jitra ke KepalaBatas. Berhenti di R&R Gurun untuk solat jamak Maghrib dan Isyak serta makan malam. sampai di Kulim pada jam 10.30 malam.

Thursday, November 25, 2010

Perkongsian Pengalaman Aqsa2Gaza Oleh Akhi Abd Wahab





Program ini diadakan di Pejabat IKRAM Kulim pda 29 Oktober 2010 , jam 8.45 malam. Program ini secara kebetulan serentak dengan program katibah/qiyamullail akhawat.

Akhi Abd Wahab Yahya bersama 6 orang sukarelawan IKRAM yang lain mengambil masa 40 hari untuk berkonvoi dari London ke Gaza mengikut jalan darat dengan memandu van yang sarat dengan barangan sumbangan.

Dalam perkongsian ini Abd Wahab menunjukkan gambar-gambar yang diambil sepanjang konvoi tersebut. Perkongsian ini menarik minat ahli-ahli IKRAM Kulim sehingga ada akhawat bertanya adakah Aqsa Syarif akan menghantar sukarelawan wanita pada masa hadapan.

Majlis perkongsian ini dipengerusikan oleh Pengerusi JK Aqsa Syarif Kulim, Sdr Mohd Zamri Shamsudin dan dihadiri lebih 40 orang ikhwah dan akhawat termasuk anak-anak.

Majlis yang tamat pada jam 10.00 malam diakhiri dengan jamuan ringan yang disediakan oleh akhawat.

Saturday, October 23, 2010

PERUTUSAN PRESIDEN IKRAM-ULANG TAHUN PERTAMA




Sempena Ulang Tahun Pertama Pendaftaran Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

15 Zulkaedah 1431 bersamaan 23 Oktober 2010

بسم الله الرحمن الرحيم ...... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Segala pujian bagi Allah s.w.t yang telah menyempurnakan agamaNya, melengkapkan nikmatNya dan merelai Islam sahaja sebagai al-Din, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, keluarga baginda dan para sahabat-sahabatnya, seluruh pengikut yang telah mengikuti baginda dengan sebaik-baiknya sehingga ke hari al-qiamah………. Amin!

Semoga seluruh warga Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), anggota keluarga mereka, seluruh ummat Islam di Malaysia dan dunia sentiasa berada di dalam keadaan sejahtera, sentiasa mentaati Allah s.w.t, memajukan diri serta memperkembangkannya hari demi hari supaya menjadi lebih baik dengan perjalanan masa, mampu menambah bakti kepada agama yang kita imani dan ummah yang kita sayangi.

Semalam tanggal 22 Oktober 2010, ulang tahun pertama pendaftaran Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) diluluskan Pendaftar Pertubuhan. Kita semua sejak tarikh 22 Oktober 2009 yang lalu telah memperolehi sebuah wahana perjuangan yang dapat dimanafaatkan untuk memperkasakan perjuangan menegakkan Islam kembali gemilang menaungi manusia dan alam dengan kehendak Allah s.w.t dengan rahmat dan keadilanNya.

Masa berlalu dengan cepat, kesibukan kita menguruskan transformasi entiti kita kepada IKRAM, pelancarannya di pusat, negeri dan cawangan-cawangan serta meletakkannya di atas landasan perjalanan yang terancang untuk mengejar visi dan menyempurnakan misi membuat kita terlupa tarikh kelahirannya semalam.

Ulang tahun kelahirannya yang merupakan tarikh keramat kepada kita semua. Permulaan era baru yang menuntut kerja-kerja keras, pengorbanan maksimum, dalam laluan mengkhidmati Islam, ummah dan manusia, pengabdian kepada Allah tahap tinggi sejajar dengan tuntutan masa dan situasi cabaran-cabaran getir yang sedang dihadapi ummah agar ummah kembali berada di posisinya yang mulia, memimpin ummat manusia menuju keredhaan Allah s.w.t, pencipta alam semesta.

Ukhuwah Teras Kegemilangan

Thursday, October 21, 2010

Multaqa Ilmu IKRAM Kulim Bulan Oktober




Pejabat Ikram, Kulim-21 Okt, satu majlis mulataqa bulanan IKRAM Kulim diteruskan lagi setelah ditangguhkan sempena Ramadhan yang lepas.

Majlis kali ini disampaikan olehal-Fadhil, TYP IKRAM Kedah, Akhuna Ust Sayuti Ramli daripada Jitra. Kali ini fokus kita pada ilmu Hadith dari kitab Riadhus solihin. majlis yang bermula dengan iftar jamaie secara potluck. Selepas solat maghrib kuliah dimulakan dengan ustaz membawa hadirin berkenalan dengan Imam Nawawi dan juga sedikit ilmu Mustholah Hadith.Seterusnya Ustaz menyentuh bab 1 dari kitab tersebut iaitu Iklas dengan hadis NIAT.

Majlis kali ini dihadiri ramai sahabat-sahabat baru termasuk Imam masjid Padang Cina, Kulim , sdr Ahmad Nazar Husin, yang dijak oleh Ust Sayuti semasa berjumpa ketika kursus Imam di Sungai Petani pada minggu lepas. Moga-moga pertemuan ini memberi banyak manfaat kepada IKRAM Kulim dan juga ustaz sendiri.

Majlis tamat pada jam 10.45 dengan solat Isyak. Ustaz Sayuti yang datang bersama SU IKRAM Kubang Pasu, Dr Asmat Nizam dan juga Mualim Fazli, pulang dengan harapan dapat bertemu lagi pada bulan depan (Khamis minggu keempat, 25 November 2010)untuk menamatkan hadith Niat dan juga sedikit ilmu Mustolah hadith.

Monday, October 11, 2010

KURSUS SPI UNTUK NUQABA IKRAM KULIM


Kursus ini dilaksanakan pada 2 Oktober 2010 di rumah SU IKRAM Kulim dan dikendalikan oleh Pengurus IKRAM Kedah, Akhi Mazlan Md. Desa. Kursus ini tidak dibuat di pejabat IKRAM Kulim kerana tiada kemudahan internet.

Kursus Sistem Pengurusan IKRAM (SPI) ini adalah satu perisian yang cukup baik yang boleh memuatkan berbagai pengkalan data dan beroperasi secara atas talian. Kursus ini dihadiri oleh 5 ikhwah dan 4 akhawat.

Moga SPI ini mampu memperkasakan dan memantapkan perjalanan IKRAM serta memudahkan urusan pelaporan dan penyampaian maklumat.Pengurus SPI IKRAM Kulim ialah saudara Saiful Suhardi Shamsudin.

MAJLIS EIDUL FITRI IKRAM KULIM 1431



Majlis ini diadakan pada pada 2 Oktober 2010 bersamaan 23 Syawal 1431 di Pejabat IKRAM Kulim bersempena mesyuarat Agung Daerah JIM Kulim kali ke-16.

Program yang bermula jam 10 pagi dengan MAD JIM itu, agak dingin kerana kehadiran yang tidak memuaskan. Ini disebabkan terdapat banyak program lain yang bersifat individu berlaku pada hari yang sama, seperti kenduri, Ramuan Raya Taman dan tidak kurang juga yang bekerja pada hari tersebut.

Makanan yang disediakan untuk 100 orang itu , hanya dapat dihabiskan 30% sahaja. Selebihnya dibungkus dan dibawa balik ke rumah masing-masing.